Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan

Ahad, 23 Februari 2014

Ucapan Sempena Hari Guru


Soalan: Sekolah kamu akan mengadakan sambutan Hari Guru. Kamu diminta menyampaikan ucapan dalam majlis yang bakal diadakan. Sediakan teks ucapan kamu itu selengkapnya.


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi. Selamat sejahtera saya ucapkan. Selaku wakil murid, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap dalam majlis sambutan Hari Guru ini.

Guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi,

Pada setiap tanggal 16 Mei, kita akan menyambut Hari Guru yang diadakan khas untuk mengenang dan menghargai jasa guru. Biarpun insan yang bergelar guru ini tidak pernah mengharapkan balasan, namun sebagai muridf wajarlah kita amengenang dan menghargai segala didikan dan tunjuk ajar yang telah dicurahkan buat kita semua.

Di sekolah, gurulah yang mendidik dan mengasuh kita untuk Berjaya dan menjadi insane yang berguna. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru, kita tidak mungkin tahu membaca, menulis dan mengira. Usaha murni para guru yang tidak mengenal jemu ini memang patut dipuji.

Selain itu, kita perlu menghormati mereka seperti kita menghormati ibu bapa kita. Apabila berbicara dengan mereka, gunakanlah kata-kata yang manis dan berbudi bahasa. Jangan sesekali bersikap berat tulang untuk membantu mereka seperti membersihkan kelas dan mengangkat barang-barang mereka.

Guru-guru yang dihormati,

        Sepanjang guru-guru mendidik kami, tentu ada kesilapan kami yang telah mengguris perasaan guru-guru. Oleh yang demikian, saya mewakili rakan-rakan yang lain memohon maaf atas segala kesilapan yang telah kami lakukan. Kami berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

        Sekian sahaja ucapan saya untuk kali ini. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan guru-guru tiada penghujungnya dan amat kami hargai. Sebelum saya mengundurkan diri, terimalah serangkap pantun;

        Banyak padi perkara padi, 
                Padi mana ditanam orang; 
        Banyak budi perkara budi, 
                Budi guru dikenang orang.

Sekian, terima kasih.
       


           
 

Sabtu, 22 Februari 2014

Ucapan Sempena Hari Kanak-kanak


Soalan: Sekolah kamu akan mengadakan sambutan Hari Kanak-kanak. Kamu diminta berucap dalam majlis tersebut bagi mewakili rakan-rakan kamu. Sediakan ucapan kamu itu selengkapnya.


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi. Selamat sejahtera saya ucapkan. Selaku wakil murid, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap dalam majlis sambutan Hari Kanak-kanak ini.

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,

Tujuan sambutan Hari Kanak-kanak diadakan adalah untuk meraikan kanak-kanak iaitu terdiri daripada murid-murid sekolah ini. Hari Kanak-kanak amat besar maknanya kepada saya dan rakan-rakan. Hal ini kerana alam kanak-kanak merupakan alam pertama bagi kami sebelum menempuh alam remaja dan dewasa.

Hari Kanak-kanak disambut sebagai tanda penghargaan orang dewasa terhadap kita. Penghargaan ini terdapat dalam pelbagai bentuk seperti kasih sayang, perhatian dan hadiah. Oleh itu, sewajarnya penghargaan yang diberikan ini kita balas dengan berjanji untuk menjadi kanak-kanak yang baik dan berbudi bahasa.

Dalam majlis ini, kami memohon kepada guru-guru agar menjadikan kami sebagai kanak-kanak yang Berjaya dalam pelajaran. Kami memohon kepada guru-guru agar mendidik kami dengan penuh kasih sayang. Jika kami ada melakukan kesilapan, tegurlah kami seperti menegur anak sendiri.

Hadirin yang dikasihi,

Pada kesempatan ini juga, saya mewakili rakan-rakan berjanji untuk menjadi anak murid yang baik dan berhemah tinggi. Segala teguran dan nasihat cikgu akan kami sematkan di dada. Kami juga berikrar untuk menjadi murid yang cemerlang dalam pelajaran dan seterusnya menjadi insane yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Sekian sahaja ucapan saya untuk kali ini. Sebelum saya mengundurkan diri, terimalah serangkap pantun; 

        Buah cempedak di luar pagar, 
                Ambil galah tolong jolokkan; 
        Kami budak baru belajar, 
                Kalau salah tolong tunjukkan.


Sekian, terima kasih.