Ahad, 14 April 2013

Tema Hari Guru 2013 - Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda


Tema Hari Guru 2013 telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti  pada 29 Mac lepas. Info Hari Guru 2013 ini merujuk Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku Urus Setia Pemilihan Tema Hari Guru 2013 telah menerima persetujuan dan pengesahan dari Pejabat YAB Menteri Pelajaran berhubung Tema Hari Guru Tahun 2013. Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan tema yang telah dipersetujui oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran adalah GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA. 

HURAIAN 1ASPIRASI
Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi. 

HURAIAN 1AGENDA 
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.

Rabu, 10 April 2013

Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang Tahun 2013

Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Pahang Tahun 2013 


Tarikh: 5 hingga 7 April 2013
Tempat: SMK Seri Tualang dan SK Seri Tualang

Objektif Pertandingan
  • Memperkukuh penguasaan bahasa sehingga mampu meneroka kepelbagaian ilmu pengetahuan melalui bahasa Melayu.
  • Memupuk minat terhadap keindahan berbahasa serta mewujudkan keprihatinan pelajar terhadap nilai-nilai estetika bahasa serta menghargainya.
  • Membantu dan membimbing pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam, khususnya dalam subjek bahasa Melayu.
 
Keputusan Pertandingan

Bahas (SM)
Johan: Kuantan
Naib Johan: Pekan
Ketiga: Temerloh dan Rompin

Pantun (SM)
Johan: Rompin
Naib Johan: Kuantan
Ketiga: Temerloh dan Cameron Highlands

Pidato Diraja (SM)
Johan: Jerantut
Naib Johan: Kuantan
Ketiga: Pekan

Pidato Diraja (SR)
Johan: Kuantan
Naib Johan: Maran
Ketiga: Pekan

Pidto Pra U
Johan: Bera
Naib Johan: Jerantut
Ketiga: Rompin

Bercerita Tahap I (SR)
Johan: Rompin
Naib Johan: Kuantan
Ketiga: Temerloh

Bercerita Tahap II (SR)
Johan: Lipis
Naib Johan: Maran
Ketiga: Bera

 

Khamis, 4 April 2013

SK Temin Juara Pertandingan Robotik


LAU LEE (tiga dari kanan) dan Wan Norizan (tiga dari kiri) bergambar bersama murid-murid SK Temin yang menjuarai pertandingan robotik di Karnival Sains dan Teknologi Jerantut 2011 semalam.

Pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Temin muncul juara pertandingan robotik pada Karnival Sains dan Teknologi Jerantut 2011 di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, lima murid sekolah berkenaan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM250 serta pingat, piala dan sijil setelah menumpaskan tujuh buah sekolah lain yang bertanding.

Naib johan pula milik SK Jerantut manakala tempat ketiga disandang oleh SK Pusat Penyelidikan Tun Razak dengan masing-masing menerima wang tunai RM150 dan RM100 beserta pingat, piala dan sijil.

Karnival itu telah berlangsung selama tiga hari dan dianjurkan oleh MDJ dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Perikanan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) dan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee yang turut dihadiri oleh Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzzaman.

Ps: Berita Utusan Malaysia 05.11.2011