Memaparkan catatan dengan label Surat Rasmi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Surat Rasmi. Papar semua catatan

Ahad, 9 Februari 2014

Tidak Hadir ke Sekolah



Soalan: Kamu tidak dapat hadir ke sekolah kerana terpaksa mengikut ibu bapa kamu menghantar abang kamu mendaftarkan diri di universiti. Tulis sepucuk surat kepada guru kelas kamu untuk memaklumkan perkara tersebut.


Nur Amira Farhana binti Amir,
No. 12, Jalan Pine 3,
Taman Pine,
27000 Jerantut,
Pahang.

_______________________________________________________________________

Guru Kelas 6 Sejahtera,
Sekolah Kebangsaan Temin,
27000 Jerantut,
Pahang.                                                                                 5 MEI 2014.

Cikgu,

Tidak Hadir ke Sekolah

Merujuk perkara di atas, saya Nur Amira Farhana binti Amir dari kelas 6 Sejahtera ingin memaklumkan bahawa saya tidak dapat hadir ke sekolah selama tiga hari iaitu dari 6 Mei hingga 8 Mei 2014.

2.   Untuk makluman cikgu, saya terpaksa mengikut ibu bapa saya ke Kedah untuk menghantar abang saya ke Universiti Utara Malaysia. Abang saya mendaftar kemasukannya ke university tersebut pada 7 Mei 2014. Dia akan mengikuti pengajian di peringkat ijazah dalam bidang perakaunan selama empat tahun.

3.   Saya mengikut ibu dan bapa saya ke Kedah kerana tiada orang yang akan menjaga saya di rumah sepanjang ketiadaan ibu dan bapa saya. Demi keselamatan, ibu bapa saya membawa saya bersama-sama.

4.   Tentang pelajaran saya, usahlah cikgu bimbang kerana saya ada membawa beberapa buah buku rujukan untuk dibaca sepanjang saya berada di sana. Saya juga berjanji akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh cikgu walaupun saya tidak hadir ke sekolah. Saya akan bertanyakan perkara tersebut kepada kawan-kawan saya di sekolah.

5.   Saya akan kembali semula ke sekolah pada 9 Mei 2014. Saya berharap agar perkara ini dalam pengetahuan cikgu. Segala kerjasama dan keprihatinan cikgu saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,

Amira
(NUR AMIRA FARHANA BINTI AMIR)
Murid 6 Sejahtera

Sabtu, 8 Februari 2014

Memohon Mengadakan Majlis Perpisahan



Soalan: Seorang guru Tahun Enam di sekolah kamu akan berpindah ke sekolah lain. Murid-murid Tahun Enam ingin mengadakan majlis perpisahan untuknya. Sebagai Ketua Murid kamu perlu menulis surat kepada Guru Besar untuk meminta kebenaran mengadakan majlis tersebut. 



Ketua Murid,
Sekolah Kebangsaan Temin,
27000 Jerantut,
Pahang.
_________________________________________________________________________

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Temin,
27000 Jerantut,
Pahang.                                                                              12 MEI 2014.

Tuan,

Permohonan Mengadakan Majlis Perpisahan

Merujuk perkara di atas, saya selaku Ketua Murid dan mewakili murid-murid Tahun Enam di sekolah ini ingin memaklumkan bahawa kami ingin mengadakan majlis perpisahan untuk Cikgu Rohani binti Ali yang akan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Gombak Setia pada akhir bulan ini.  

2.    Sehubungan itu, kami ingin meminta keizinan daripada Tuan Guru Besar untuk mengadakan majlis tersebut. Butiran lanjut tentang majlis tersebut adalah seperti berikut:
           
Tarikh: 30 Mei 2014
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Dewan SK Temin
Tetamu: Guru Besar, guru-guru dan murid-murid Tahun 6

3.   Untuk makluman tuan, majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan apresiasi murid-murid Tahun Enam kepada Cikgu Rohani. Di samping itu, majlis ini juga diadakan untuk mengenang jasa dan bakti beliau yang begitu banyak ditaburkan sepanjang 18 tahun berkhidmat di sekolah ini. Tambahan pula, prestasi pencapaian UPSR sekolah ini telah meningkat dengan cemerlang atas usaha gigih Cikgu Rohani mendidik murid-murid Tahun 6.

4.   Harapan kami agar Tuan Guru Besar dapat memberikan kebenaran kepada kami untuk mengadakan majlis ini dan kami berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memastikannya berjalan dengan lancar dan sempurna. Kita juga akan memastikan dewan akan dikemas dan dibersihkan semula setelah majlis itu selesai.

5.   Segala perhatian dan pertimbangan yang diberikan oleh pihak tuan amatlah dialu-alukan dan dihargai.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,

Amirul
(AMIRUL AIMAN BIN AZMI)
Ketua Murid,
SK Temin.