Khamis, 12 Jun 2014

Cara-cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah

Soalan: Masa sangat berharga dalam kehidupan kita. Bincangkan cara-cara menggunakan masa lapang dengan berfaedah


cara menggunakan masa
Cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah

Pelbagai istilah tentang masa yang kita dengar atau lihat. Antaranya ialah "Masa itu Emas", "Masa ialah Kehidupan" dan sebagainya. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam kehidupan kita kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Oleh itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak membazir begitu sahaja.

Aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Pelbagai bahan bacaan dapat dibaca seperti buku rujukan, surat khabar, novel, majalah, jurnal dan sebagainya. Aktiviti membaca dapat menambah ilimu pengetahuan dan mematangkan minda kita.  

Masa juga dapat digunakan dengan berfaedah apabila kita memenuhinya dengan melakukan hobi yang bermanfaat. Misalnya hobi mengumpul setem, bersukan, melancong, berekreasi dan sebagainya. Sudah tentu kita berasa gembira sekiranya masa lapang diisi dengan melakukan perkara yang kita suka. 

Selain itu, kita dapat menggunakan masa yang terluang dengan membantu ibu bapa membuat kerja-kerja rumah. Kita perlu faham situasi ibu bapa kita yang penat bekerja seharian. Oleh itu, jika kita membantu mereka mengemas rumah, menyapu sampah dan sebagainya, secara tidak langsung kita dapat meringankan beban mereka. Kita juga akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. 

Di samping itu, kita dapat gunakan masa yang terluang dengan menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan. Selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama sanak saudara dan rakan-rakan, kita juga dapat bersiar-siar.
Kesimpulannya, masa yang terluang mestilah digunakan dengan bijak. Kita haruslah melatih diri supaya dapat menguruskan masa dengan baik agar masa tidak terbuang begitu sahaja. 


Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah

Soalan: Bincangkan kepentingan kegiatan kokurikulum di sekolah.  



Doktor Muda

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah 

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti luar bilik darjah yang dibimbing oleh guru-guru. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah, misalnya aktiviti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta pasukan beruniform. Oleh yang demikian, aktiviti kokurikulum perlu disertai oleh murid-murid kerana ada banyak kepentingannya.

Kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk melepak dan  bergaul dengan budak-budak nakal. Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, masa lapang kita akan diisi dengan latihan yang diselia oleh guru-guru.

Selain itu, kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Contohnya, semasa menyertai aktiviti persatuan, sukan atau unit beruniform, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya.

Di samping itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

Seterusnya, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap unit kokurikulum mempunyai ramai ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama ahli.

Kesimpulannya, banyak kepentingan kegiatan kokurikulum kepada murid-murid di sekolah. Oleh itu, pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum.


Selasa, 10 Jun 2014

Kepentingan Sukan kepada Murid

Soalan: Bincangkan kepentingan sukan kepada murid-murid.  



kepentingan sukan
Kepentingan Sukan kepada Murid 

Sukan merupakan aktiviti yang wajib bagi setiap sekolah. Setiap tahun, sekolah-sekolah akan sibuk mengadakan hari sukan. Hal ini membuktikan sukan sangat penting kepada murid-murid.

Aktiviti sukan sangat baik untuk kecergasan murid-murid. Murid-murid dapat mengeluarkan peluh dan dapat melakukan aktiviti bersukan dengan teknik yang betul. Apabila badan cergas, pasti murid-murid dapat menimba ilmu dengan baik.

Selain itu, bersukan juga dapat meredakan tekanan belajar. Apabila murid-murid menyertai aktiviti bersukan, mereka akan melupakan pelajaran buat seketika dan mapu mengelak diri mereka daripada menghadapi tekanan belajar.

Aktiviti sukan juga dapat merapatkan hubungan antara murid. Mereka akan mendapat ramai kawan dan hubungan juga lebih akrab. Contohnya denganm menyertai pertandingan sukan, semangat berkumpulan dan saling bekerjasama untuk merangkul kemenangan akan lebih membara.

Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan. Bakat-bakat ini perlu digilap untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah seterusnya ke peringkat negeri. Secara tidak langsung, akativiti sukan juga dapat mengharumkan nama sekolah ke seluruh Negara.

Kesimpulannya, sukan sangat penting kepada murid-murid untuk mencapai kecemerlangan dalam kokurikulum mahupun kurikulum. Pihak sekolah dan PIBG haruslah berganding bahu menyokong aktiviti sukan agar mencapai matlamatnya.