Selasa, 10 Jun 2014

Kepentingan Menyertai Lawatan Sambil Belajar

Soalan: Persatuan di sekolah sering menganjurkan lawatan sambil belajar untuk ahlinya. Nyatakan kepentingan mengikuti lawatan sambil belajar kepada murid-murid.


lawatan sambil belajar
Kepentingan Menyertai Lawatan Sambil Belajar

Persatuan di sekolah sering menganjurkan lawatan sambil belajar. Lawatan ini biasanya dianjurkan ke tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat menarik dan ke pusat-pusat pameran. Kebiasaannya murid-murid dibawa ke tempat-tempat lawatan dengan menaiki bas yang disewa khas dengan diiringi oleh guru-guru pengiring.

Antara kepentingan menyertai lawatan sambil belajar ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, jika kita melawat ke Muzium Negara, kita akan memperoleh banyak pengetahuan tentang sejarah Negara. Kita dapat menggunakan pengetahuan tersebut dalam mata pelajaran Kajiaan Tempatan dan Sejarah.

Selain itu, kita dapat memanfaatkan masa lapang dengan menyertai lawatan. Sebagai contoh, jika kita tidak mengikuti lawatan, kita kita mungkin akan membuang masa dengan menonton televisyen atau bermain sahaja. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan masa kita terbuang begitu sahaja.

Seterusnya, kita akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan guru dan rakan-rakan. Contohnya, ketika mengikuti lawatan, kita akan berkomunikasi dan bekerjasama dengan peserta lawatan yang lain. Hal ini sudah pasti akan mewujudkan hubungan yang lebih mesra dalam kalangan rakan yang berlainan kelas.

Mengikuti lawatan sambil belajar juga dapat menenagkan fikiran kita. Contohnya, jika kita melawat ke tempat-tempat menarik seperti Cameron Highlands. Suasana yang mendamaikan di sana akan dapat merehatkan minda kita setelah penat belajar.

Kesimpulannya, mengikuti lawatan sambil belajar merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Oleh itu, jika ada kesempatan janganlah melepaskan peluang untuk mengikuti lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.



18 ulasan: