Ahad, 26 Januari 2014

Kepentingan Amalan Bergotong-royong


syarahan
Soalan: Kamu akan menyertai pertandingan syarahan peringkat daerah. Tajuk syarahan kamu ialah "Kepentingan Amalan Bergotong-royong". Tulis teks syarahan kamu itu selengkapnya.


     Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Guru Besar, para hakim yang adil dan bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Hari ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Kepentingan Amalan Gotong-royong”.

Hadirin yang dihormati,

Amalan bergotong-royong begitu penting diamalkan dalam kehidupan kita. Hal ini kerana amalan gotong-royong ini dapat memudahkan kerja kita. Contohnya kerja-kerja membersihkan kawasan sekolah yang luas dapat dilakukan bersama-sama. Ini sudah pasti meringankan beban kerja yang banyak untuk membersihkan kawasan sekolah tersebut.

Selain itu, amalan gotong-royong ini dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat. Misalnya, anggota masyarakat boleh mengamalkan semangat tolong-menolong dalam menyiapkan kerja-kerja semasa majlis perkahwinan. Kesannya, hubungan silaturahim dapat dieratkan.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Seterusnya, amalan ini dapat menjimatkan masa bagi menyiapkan sesuatu kerja. Contohnya, gotong-royong membersihkan kawasan sekolah boleh dilakukan secara beramai-ramai antara guru, ibu bapa dan murid-murid. Oleh itu, kerja-kerja itu dapat disiapkan dengan cepat.

Akhir sekali, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai positif dalam diri kita. Misalnya, gotong-royong membersih dan menceriakan kawasan sekolah dapat memupuk nilai mencintai keindahan alam sekitar dan mementingkan kebersihan. Kesannya, kita akan menjadi warga sekolah yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, masyarakat dan diri sendiri.

Kesimpulannya, amalan gotong-royong memberikan banyak manfaat kepada kita. Oleh itu, amalan ini perlulah dipupuk dan dijadikan amalan hidup. Sekian sahaja syarahan saya pada pagi ini. Saya sudahi dengan ucapan terima kasih.


Sabtu, 25 Januari 2014

Cara-cara Berjimat Cermat


syarahan

Soalan: Kamu akan menyertai pertandingan syarahan antara kelas. Tajuk syarahan kamu ialah “Cara-cara Berjimat Cermat”. Tulis teks syarahan kamu itu selengkapnya.


Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Guru Besar, para hakim yang adil dan bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Hari ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Cara-cara Berjimat Cermat”.

Hadirin yang dihormati,

Amalan berjimat cermat membawa maksud penjimatan dalam perbelanjaan. Amalan ini sangat dituntut dalam agama dan boleh mengelakkan daripada sikap boros. Antara cara untuk berjimat cermat adalah dengan mengawal diri ketika berbelanja. Walaupun banyak barang yang ingin dibeli tetapi belilah barang-barang yang menjadi keperluan sahaja.

Seterusnya, wang belanja yang diberi oleh ibu bapa kita boleh disimpan sedikit ke dalam tabung. Kalau tidak menjadi keperluan, janganlah dihabiskan wang belanja itu sewenang-wenangnya. Wang yang telah dikumpulkan di dalam tabung boleh dimasukkan ke dalam bank untuk kegunaan masa hadapan.

Hadirin yang dikasihi,

Selain itu, berjimat cermatlah ketika menggunakan barang-barang kepunyaan sendiri. Misalnya, buku-buku pelajaran yang digunakan dengan cermat boleh digunakan oleh adik-beradik kita yang lain. Hal ini sedah pasti meringankan beban kewangan ibu bapa kita.

Di samping itu, kita seharusnya berjimat cermat ketika menggunakan elektrik, air dan telefon. Janganlah dilakukan pembaziran sesuka hati kerana ini akan menyebabkan ibu bapa kita terpaksa menanggung bil yang tinggi. Penjimatan daripada pembayaran bil ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita praktikkan agar dapat berjimat cermat. Sama-samalah kita jadikan amalan berjimat cermat ini sebagai budaya hidup kita. Sekian, terima kasih.