Isnin, 12 Mei 2014

Tema Hari Guru 2014

Tema Sambutan Hari Guru Kali ke-43 Tahun 2014 ialah Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi. Pemberitahuan Tema Hari Guru 2014 serta maksud dan huraian ini merujuk surat Datuk Dr. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang bertarikh 08 April 2014. 



MAKSUD TEMA HARI GURU 2014
Merujuk Surat Pemberitahuan KPM, definisi dan huraian tema Hari Guru tahun ini, iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi adalah seperti berikut:
DEFINISI
  • GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.
  • PENCETUS: Merujuk maksud peranan untuk menimbulkan sesuatu ilham/idea atau mengeluarkan sesuatu seperti ilmu. Guru bertindak sebagai pencetus idea kepada kreativiti dalam usaha melahirkan generasi intelek.
  • KREATIVITI: Didefinisikan sebagai penghasilan idea, kebolehan untuk mencipta atau proses pemikiran yang mendorong dalam pencetusan idea baru dan berdaya kreatif.
  • PENJANA: Merujuk maksud guru sebagai penggerak atau perantara yang paling penting dalam proses transformasi ke arah keberhasilan.
  • INOVASI: Didefinisikan sebagai pengaplikasian kreativiti, pembaharuan, modifikasi, kaedah dan sistem bagi mencari jalan untuk menghasilkan produk baru dan perkhidmatan yang lebih baik, bermakna dan bernilai. 

HURAIAN

  • Tema Hari Guru Tahun 2014 dicadangkan iaitu Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovatif adalah selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
  • Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya agar menjadi generasi gemilang iaitu berpengetahuan dan berkemahiran, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin, memiliki sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional. Hal ini sangat relevan dalam PPPM yang terus mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pendidikan seimbang sebagai asas aspirasi setiap murid.
  • Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai keterampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu untuk mencipta ilmu yang baharu bertaraf dunia.
  • Membudayakan inovasi merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global. Keupayaan warga pendidik menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran lebih bermakna, pengalaman pembelajaran dalam menyelesaikan masalah, kreativiti dan pemikiran kritikal dilihat mampu meningkatkan kemahiran murid yang dapat berfikir secara kritis dalam konteks akademik dan persekitaran kehidupan sebenar.
  • Dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kritis dan kreatif dan inovatif. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh amalan terbaik dalam pendidikan.





Rabu, 7 Mei 2014

PENDALAMAN atau PEDALAMAN


Kedua-dua perkataan di atas tidak harus digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira ketepatan dan kesesuaiannya sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan.

Apakah perbezaan antara PEDALAMAN dan PENDALAMAN?

Pedalaman bermaksud daerah terpencil yang jauh dari pantai (yang terletak di ceruk pelosok atau di hulu negeri), hulu.
Ayat contoh: Kawasan pedalaman di Sabah akan dilengkapi dengan jalan raya.

Pendalaman pula membawa maksud perbuatan (usaha dsb) mendalami atau mendalamkan; perihal mendalamkan, tindak­an (proses dll) mendalamkan.
Ayat contoh: Kerja-kerja pendalaman sungai itu menelan belanja yang tinggi.

Oleh hal yang demikian, kedua-dua kata ini mempunyai makna yang berbeza, iaitu, pedalaman bererti daerah, manakala pendalaman menggambarkan proses kerja.



Lengkapkan ayat-ayat di bawah.
  1. Rahimi dan keluarganya tinggal di sebuah  kawasan ____________ di negeri Pahang.
  2. Kerja-kerja __________ dasar sungai itu perlu dilakukan segera  bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang lagi.


Isnin, 5 Mei 2014

Jom Baca Bersama untuk 10 Minit


Pada tahun ini bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia, program JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT/LET’S READ TOGETHER FOR 10 MINUTES telah diadakan di seluruh Malaysia bersama Perpustakaan Awam Negeri-negeri se-Malaysia.

Program ini merupakan sebahagian daripada gerakan membaca yang dijalankan setiap tahun sebagai usaha berterusan membentuk masyarakat yang membudayakan tabiat membaca. Pada tahun ini, kesemua perpustakaan awam negeri melaksanakan program ini secara serentak pada hari, tarikh dan masa yang sama, iaitu pada 22 April 2014 pada jam 10.00 hingga 10.10 pagi.

Konsep program ini diilhamkan daripada sambutan Earth Hour di mana semua peserta tanpa mengira apa jua aktiviti yang sedang dilakukan akan bersama-sama berhenti sebentar dan membaca selama 10 minit secara serentak.

Di bawah adalah gambar gambar yang sempat dirakamkam semasa program berlangsung di Sekolah Kebangsaan Temin, Jerantut, Pahang.









Moga pelaksanaan program ini dapat memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sekaligus menjadikan perpustakaan awam negeri-negeri seluruh Malaysia relevan dalam masyarakat dan memartabatkan pustakawan sebagai warga pendidik selepas sekolah.