Ahad, 14 April 2013

Tema Hari Guru 2013 - Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda


Tema Hari Guru 2013 telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti  pada 29 Mac lepas. Info Hari Guru 2013 ini merujuk Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku Urus Setia Pemilihan Tema Hari Guru 2013 telah menerima persetujuan dan pengesahan dari Pejabat YAB Menteri Pelajaran berhubung Tema Hari Guru Tahun 2013. Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan tema yang telah dipersetujui oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran adalah GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA. 

HURAIAN 1ASPIRASI
Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi. 

HURAIAN 1AGENDA 
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan