Halaman

Khamis, 12 Jun 2014

Cara-cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah

Soalan: Masa sangat berharga dalam kehidupan kita. Bincangkan cara-cara menggunakan masa lapang dengan berfaedah


cara menggunakan masa
Cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah

Pelbagai istilah tentang masa yang kita dengar atau lihat. Antaranya ialah "Masa itu Emas", "Masa ialah Kehidupan" dan sebagainya. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam kehidupan kita kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Oleh itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak membazir begitu sahaja.

Aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Pelbagai bahan bacaan dapat dibaca seperti buku rujukan, surat khabar, novel, majalah, jurnal dan sebagainya. Aktiviti membaca dapat menambah ilimu pengetahuan dan mematangkan minda kita.  

Masa juga dapat digunakan dengan berfaedah apabila kita memenuhinya dengan melakukan hobi yang bermanfaat. Misalnya hobi mengumpul setem, bersukan, melancong, berekreasi dan sebagainya. Sudah tentu kita berasa gembira sekiranya masa lapang diisi dengan melakukan perkara yang kita suka. 

Selain itu, kita dapat menggunakan masa yang terluang dengan membantu ibu bapa membuat kerja-kerja rumah. Kita perlu faham situasi ibu bapa kita yang penat bekerja seharian. Oleh itu, jika kita membantu mereka mengemas rumah, menyapu sampah dan sebagainya, secara tidak langsung kita dapat meringankan beban mereka. Kita juga akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. 

Di samping itu, kita dapat gunakan masa yang terluang dengan menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan. Selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama sanak saudara dan rakan-rakan, kita juga dapat bersiar-siar.
Kesimpulannya, masa yang terluang mestilah digunakan dengan bijak. Kita haruslah melatih diri supaya dapat menguruskan masa dengan baik agar masa tidak terbuang begitu sahaja. 


Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah

Soalan: Bincangkan kepentingan kegiatan kokurikulum di sekolah.  



Doktor Muda

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah 

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti luar bilik darjah yang dibimbing oleh guru-guru. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah, misalnya aktiviti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta pasukan beruniform. Oleh yang demikian, aktiviti kokurikulum perlu disertai oleh murid-murid kerana ada banyak kepentingannya.

Kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk melepak dan  bergaul dengan budak-budak nakal. Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, masa lapang kita akan diisi dengan latihan yang diselia oleh guru-guru.

Selain itu, kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Contohnya, semasa menyertai aktiviti persatuan, sukan atau unit beruniform, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya.

Di samping itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

Seterusnya, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap unit kokurikulum mempunyai ramai ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama ahli.

Kesimpulannya, banyak kepentingan kegiatan kokurikulum kepada murid-murid di sekolah. Oleh itu, pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum.


Selasa, 10 Jun 2014

Kepentingan Sukan kepada Murid

Soalan: Bincangkan kepentingan sukan kepada murid-murid.  



kepentingan sukan
Kepentingan Sukan kepada Murid 

Sukan merupakan aktiviti yang wajib bagi setiap sekolah. Setiap tahun, sekolah-sekolah akan sibuk mengadakan hari sukan. Hal ini membuktikan sukan sangat penting kepada murid-murid.

Aktiviti sukan sangat baik untuk kecergasan murid-murid. Murid-murid dapat mengeluarkan peluh dan dapat melakukan aktiviti bersukan dengan teknik yang betul. Apabila badan cergas, pasti murid-murid dapat menimba ilmu dengan baik.

Selain itu, bersukan juga dapat meredakan tekanan belajar. Apabila murid-murid menyertai aktiviti bersukan, mereka akan melupakan pelajaran buat seketika dan mapu mengelak diri mereka daripada menghadapi tekanan belajar.

Aktiviti sukan juga dapat merapatkan hubungan antara murid. Mereka akan mendapat ramai kawan dan hubungan juga lebih akrab. Contohnya denganm menyertai pertandingan sukan, semangat berkumpulan dan saling bekerjasama untuk merangkul kemenangan akan lebih membara.

Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan. Bakat-bakat ini perlu digilap untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah seterusnya ke peringkat negeri. Secara tidak langsung, akativiti sukan juga dapat mengharumkan nama sekolah ke seluruh Negara.

Kesimpulannya, sukan sangat penting kepada murid-murid untuk mencapai kecemerlangan dalam kokurikulum mahupun kurikulum. Pihak sekolah dan PIBG haruslah berganding bahu menyokong aktiviti sukan agar mencapai matlamatnya. 



Kepentingan Menyertai Lawatan Sambil Belajar

Soalan: Persatuan di sekolah sering menganjurkan lawatan sambil belajar untuk ahlinya. Nyatakan kepentingan mengikuti lawatan sambil belajar kepada murid-murid.


lawatan sambil belajar
Kepentingan Menyertai Lawatan Sambil Belajar

Persatuan di sekolah sering menganjurkan lawatan sambil belajar. Lawatan ini biasanya dianjurkan ke tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat menarik dan ke pusat-pusat pameran. Kebiasaannya murid-murid dibawa ke tempat-tempat lawatan dengan menaiki bas yang disewa khas dengan diiringi oleh guru-guru pengiring.

Antara kepentingan menyertai lawatan sambil belajar ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, jika kita melawat ke Muzium Negara, kita akan memperoleh banyak pengetahuan tentang sejarah Negara. Kita dapat menggunakan pengetahuan tersebut dalam mata pelajaran Kajiaan Tempatan dan Sejarah.

Selain itu, kita dapat memanfaatkan masa lapang dengan menyertai lawatan. Sebagai contoh, jika kita tidak mengikuti lawatan, kita kita mungkin akan membuang masa dengan menonton televisyen atau bermain sahaja. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan masa kita terbuang begitu sahaja.

Seterusnya, kita akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan guru dan rakan-rakan. Contohnya, ketika mengikuti lawatan, kita akan berkomunikasi dan bekerjasama dengan peserta lawatan yang lain. Hal ini sudah pasti akan mewujudkan hubungan yang lebih mesra dalam kalangan rakan yang berlainan kelas.

Mengikuti lawatan sambil belajar juga dapat menenagkan fikiran kita. Contohnya, jika kita melawat ke tempat-tempat menarik seperti Cameron Highlands. Suasana yang mendamaikan di sana akan dapat merehatkan minda kita setelah penat belajar.

Kesimpulannya, mengikuti lawatan sambil belajar merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Oleh itu, jika ada kesempatan janganlah melepaskan peluang untuk mengikuti lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.



Cara-cara Merapatkan Hubungan dengan Jiran Tetangga

Soalan: Jiran sangat penting dalam kehidupan kita. Tulis karangan tentang cara-cara merapatkn hubungan dengan jiran tetangga.    

hubungan dengan jiran tetangga

Cara-cara Merapatkan Hubungan dengan Jiran Tetangga

Semua orang mempunyai jiran. Jiran ialah orang yang tinggal berdekatan dengan kita. Disebabkan itu, jiran sangat penting dalam kehidupan kita.

Kita perlu memupuk semangat kejiranan agar perhubungan kita dengan jiran sentiasa baik dan mesra. Kita mestilah berbaik sangka dan tidak menaruh syak yang negatif terhadap jiran tetangga.

Selain itu, kita juga hendaklah mengambil berat tentang jiran kita terutama jika mereka menghadapi kesusahan. Kita perlu bertanya khabar atau melawat jiran tetangga agar hubungan sesama jiran sentiasa akrab.

Pada waktu perayaan, jemputlah jiran tetangga datang ke rumah. Raikan jiran dengan hidangan istimewa. Berikan layanan terbaik supaya wujud suasana mesra dan saling menghormati.

Kita juga perlu bergaul mesra dengan jiran tetangga. Elakkan diri kita daripada bersikap individualistik yang boleh mencemarkan hubungan kita dengan jiran. Apabila hubungan mesra, kehidupan kita akan lebih baik dan kita juga dapat menjalankan tugas harian dengan cemerlang.

Kesimpulannya, ada pelbagai cara untuk merapatkan hubungan kita dengan jiran tetangga agar kehidupan kita aman dan cemerlang. Jika kita mengamalkan semangat kejiranan, nescaya hidup kita akan bertambah ceria. 



Jumaat, 6 Jun 2014

Cara-cara Menjadi Murid yang Cemerlang dalam Pelajaran

Soalan: Tulis karangan tentang cara-cara menjadi murid yang cemerlang dalam pelajaran.  

cemerlang dalam pelajaran
Cara-cara Menjadi Murid yang Cemerlang dalam Pelajaran 

Setiap orang mahukan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Namun demikian, kecemerlangan tersebut tidak dating dengan sendirinya, sebaliknya, perlu disusuli dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Bagi mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, seseorang murid perlulah tekun belajar. Contohnya ketika di dalam kelas, kita perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh. Dengan ini, kita dapat memahami dan mengingati pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Selain itu, kita juga perlu mengulang kaji pelajaran. Contohnya, apabila di rumah, kita perlu membaca nota pelajaran yang diberikan oleh guru. Oleh itu, sesuatu topic itu akan kekal dalam ingatan dan minda kita.

Seterusnya, kita juga boleh mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ini kerana melalui kelas tambahan, guru-guru akan member penekanan pada topic-topik yang sukar. Kesannya, pemahaman terhadap sesuatu pelajaran itu akan meningkat.

Di samping itu, kita juga perlu banyak membuat latihan. Contohnya, latihan-latihan berbentuk soalan peperiksaan perlu kita lakukan berulang kali. Ini akan memudahkan kita menjawab soalan-soalan peperiksaan kerana sudah biasa dengan pola-pola soalan tersebut.

Kesimpulannya, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi murid yang cemerlang dalam pelajaran. Kejayaan kita pasti akan menggembirakan ibu bapa dan guru-guru.  




Selasa, 3 Jun 2014

Faedah Membawa Bekal ke Sekolah

Soalan: Setiap murid digalakkan untuk membawa bekal makanan dari rumah. Berikan faedah-faedah membawa bekal makanan dari rumah.



bekal ke sekolah
Faedah Membawa Bekal ke Sekolah

Bekal makanan merupakan makanan yang disediakan di rumah dan dibawa ke sesuatu tempat. Akhir-akhir ini, semakin ramai murid yang telah membawa bekal makanan ke sekolah. Budaya ini patut digalakkan kerana terdapat banyak faedah melalui amalan ini.

Antara faedah yang nyata ialah murid-murid dapat menjaga kesihatan. Bekal makanan yang disediakan oleh ibu bapa merupakan makanan yang berkhasiat, seimbang dan bersih. Dengan itu, murid tidak akan mengambil makanan yang berlemak seperti ayam goreng, nuget dan sosej di kantin sekolah. Keracunan makanan juga dapat dielakkan.

Selain itu, dengan membawa bekal makanan murid-murid dilatih untuk berjimat cermat. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa dapat disimpan untuk masa depan. Wang tersebut dapat digunakan apabila berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading tanpa perlu membebankan ibu bapa.

Di samping itu, amalan membawa bekal makanan ini juga dapat menjalin hubungan rapat dengan keluarga. Sebagai contoh, anak-anak yang makan makanan ibu atau ayah akan merasai kasih sayang keluarga. Ini secara tidak langsung akan melahirkan anak-anak yang tahu menghayati dan menghargai jasa ibu bapa.

Seterusnya, amalan membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan masa. Murid-murid tidak perlu ke kantin dan berbaris bagi membeli makanan. Masa yang lebih ketika waktu rehat ini boleh digunakan untuk aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan menyiapkan kerja sekolah.

Jelaslah bahawa amalan membawa bekal makanan ke sekolah banyak memberikan faedah kepada murid. Oleh itu, amalan ini perlulah diterapkan kepada semua murid.



               

Kepentingan Perpustakaan

Soalan: Kamu sering pergi ke perpustakaan untuk membaca buku. Tulis sebuah karangan tentang kepentingan perpustakaan. 

perpustakaan

Kepentingan Perpustakaan

Setiap sekolah pasti dilengkapi dengan sebuah perpustakaan. Di perpustakaan terdapat pelbagai jenis bahan bacaan. Antaranya, novel, buku cerita, majalah dan ensiklopedia. Buku-buku yang terdapat di perpustakaan boleh dipinjam dengan menggunakan kad pinjaman. 

Melalui buku-buku yang dipinjam dan dibaca dari perpustakaan, kita dapat meningkatklan pengetahuan. Sebagai contoh, jika kita membaca buku tentang sains dan teknologi, kiota dapat menambahkan pengetahuan tentang sains. Pengetahuan yang ditimba itu dapat digunakan dalam mata pelajaran sains di sekolah. 

Selain itu, jika kita sering mengunjungi perpustakaan, kita dapat memanfaatkan masa lapang. Oleh itu, masa lapang kita tidak terbuag begitu sahaja. Kita juga tidak terjebak dengan gejala-gejala sosial seperti bergaul dengan budak-budak nakal dan ponteng sekolah.

Di samping itu, membaca buku-buku yang terdapat di perpustakaan dapat memberikan hiburan kepada kita. Contohnya, kita akan terhibur dengan cerita-cerita lucu yang dibaca. Kita juga boleh mendapat pengajaran dan iktibar daripada cerita tersebut. Hati kita juga akan tenang dan gembira selepas penat belajar dan mengulang kaji pelajaran.

Melalui buku-buku yang dipinjam dan dibaca dari perpustakaan juga akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa kita. Contohnya, kita dapat mempelajari kosa kata baharu yang boleh digunakan semula dalam penulisan karangan. Jika kita tidak mengetahui makna sesuatu perkataan pula, bolehlah dirujuk dalam kamus. Secara tidak langsung, kita telah dapat menambahkan perbendaharaan kata.

Sesungguhnya, perpustakaan merupakan gedung ilmu yang perlu dikunjungi oleh setiap murid. Janganlah kita mensia-siakan kemudahan yang ada di perpustakaan. 


Jumaat, 30 Mei 2014

Membina Ulasan 2


Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.


Haikal, Afiq dan Hakim berkawan rapat kerana mereka tinggal sekampung. Pada suatu hari, ketika berjalan-jalan,mereka melalui kawasan dusun buah-buahn. Mereka ternampak buah rambutan yang masak.
       Hakim mengajak Haikal dan Afiq memanjat pokok rambutan, tetapi tidak dipersetujui oleh kawan-kawannya. Haikal dan Afiq menasihati Hakim agar tidak memanjat pokok rambutan itu. Hakim tetap berkeras mahu memanjat pokok rambutan itu. Hakim segera memanjat pokok rambutan manakala kawana-kawannya menunggu di bawah. Sedang leka memetik buah rambutan, dahan yang dipijaknya patah. Hakim terjatuh dan meraung kesakitan kerana kakinya patah. Haikal dan Afiq yang masih berada di kawasan itu cuba membantunya. Kebetulan, Pak Mail melalui kawasan dusunnya itu dan ternampak mereka bertiga.
       Pak Mail menghantar Hakim ke klinik. Kaki Hakim yang patah telah dirawat. Haikal dan Afiq pula menghubungi keluarga kawan mereka itu. Hakim berasa kesal atas perbuatannya dan memohon maaf daripada Haikal dan Afiq. Dia juga memohon maaf daripada Pak Mail kerana mengambil buah rambutan di kebun Pak Mail tanpa keizinannya.


Senarai nilai dan pernyataan.

NILAI
PERNYATAAN
1.
memupuk persahabatan/ semangat bermasyarakat/ setia kawan/ erat tali persaudaraan/ kasih sayang/ erat silaturahim
Haikal, Afiq dan Hakim berkawan rapat kerana mereka tinggal sekampung
2.
berpendirian tegas/ hemah tinggi/ jujur/ rasional/ bertindak bijak/ sepakat/ bersatu hati/ bijak berfikir
Haikal dan Afiq tidak bersetuju dengan ajakan Hakim untuk memanjat poko rambutan
3.
patuh/ akur/ taat/ mendengar nasihat/ mendengar kata
bukan seperti Hakim yang tetap berkeras memanjat pokok rambutan itu
4.
berhati-hati/ berwaspada/ beringat-ingat/ menjaga keselamatan
Hakim sepatutnya tidak leka ketika memanjat dan memetik buah rambutan
5.
prihatin/ baik hati/ bertanggungjawab/ bertindak pantas
Haikal dan Afiq cuba membantunya
6.
baik hati/ prihatin/ bertanggungjawab/ simpati/ belas kasihan/ bertindak pantas/ bertindak bijak
Pak Mail menghantar Hakim ke klinik
7.
bertanggungjawab/ prihatin/ bertindak bijak
Haikal dan Afiq pula menghubungi keluarga kawan mereka itu
8.
Insaf/ sedar diri/ mengakui kesalahan
Hakim berasa kesal atas perbuatannya
9.
rendah diri/ hemah tinggi/ mengakui kesalahan/ insaf/ berhati mulia
memohon maaf daripada Pak Mail
  



 

Membina Ulasan 1

Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.


Farhana membantu kakaknya di dapur menyediakan juadah untuk dibawa berkelah. Setelah semua barang dimasukkan ke dalam kereta, ibu mengunci pintu rumah. Sebelum itu, ibu memastikan semua suis lampu dan kipas dimatikan. Ayah menyuruh kami semua memaki tali pinggang keselamatan. Ayah memandu mengikut had laju yang ditetapkan. Farhana dan kakaknya membaca buku semasa dalam perjalanan.
    Apabila sampai di kawasan perkelahan, Farhana dan kakaknya membantu ayah mengeluarkan barang-barang dari kereta. Kemudian, Farhana dan kakaknya ke laut untuk mandi. Farhana dan kakaknya menggunakan pelampung ketika mandi. Setelah puas bermandi-manda, Farhana dan kakaknya menikmati bekalan makanan yang dibawa. Farhana sempat memberi makanan kepada seorang budak perempuan yang turut berkelah di situ. Sebelum pulang, Farhana dan keluarganya membersihkan kawasan perkelahan itu.



Senarai nilai dan pernyataan:

NILAI
PERNYATAAN
1.
rajin/ baik hati/ prihatin

membantu kakaknya di dapur menyediakan juadah untuk dibawa berkelah
2.
berwaspada/ berhati-hati/ beringat-ingat
mengunci pintu rumah
3.
berjimat-cermat
memastikan semua suis lampu dan kipas dimatikan
4.
bertanggungjawab/ prihatin/ ambil berat/ cakna/ berwaspada/  berhati-hati/ beringat-ingat
menyuruh kami semua memakai tali pinggang keselamatan
5.
berdisiplin/ berhemah/ mematuhi peraturan
memandu mengikut had laju yang ditetapkan
6.
menghargai masa/ rajin
membaca buku semasa dalam perjalanan
7.
rajin
membantu ayah mengeluarkan barang-barang dari kereta
8.
berwaspada/ berhati-hati/ beringat-ingat/ menjaga keselamatan/ mementingkan keselamatan
menggunakan pelampung ketika mandi
9.
pemurah/ hemah tinggi/ baik hati

memberi makanan kepada seorang budak perempuan
10.
bertanggungjawab/ cintai alam sekitar/ prihatin/ ambil berat/ cakna/
membersihkan kawasan perkelahan itu