Jumaat, 7 Februari 2014
Ahad, 26 Januari 2014
Kepentingan Amalan Bergotong-royong
Soalan: Kamu akan menyertai pertandingan
syarahan peringkat daerah. Tajuk syarahan kamu ialah "Kepentingan Amalan
Bergotong-royong". Tulis teks syarahan kamu itu selengkapnya.
Yang saya
hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Guru Besar, para hakim yang
adil dan bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya
ucapkan. Hari ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Kepentingan
Amalan Gotong-royong”.
Hadirin yang dihormati,
Amalan bergotong-royong begitu
penting diamalkan dalam kehidupan kita. Hal ini kerana amalan gotong-royong ini
dapat memudahkan kerja kita. Contohnya kerja-kerja membersihkan kawasan sekolah
yang luas dapat dilakukan bersama-sama. Ini sudah pasti meringankan beban kerja
yang banyak untuk membersihkan kawasan sekolah tersebut.
Selain itu, amalan gotong-royong ini
dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat. Misalnya,
anggota masyarakat boleh mengamalkan semangat tolong-menolong dalam menyiapkan
kerja-kerja semasa majlis perkahwinan. Kesannya, hubungan silaturahim dapat
dieratkan.
Rakan-rakan yang dikasihi,
Seterusnya, amalan ini dapat
menjimatkan masa bagi menyiapkan sesuatu kerja. Contohnya, gotong-royong
membersihkan kawasan sekolah boleh dilakukan secara beramai-ramai antara guru,
ibu bapa dan murid-murid. Oleh itu, kerja-kerja itu dapat disiapkan dengan
cepat.
Akhir sekali, aktiviti gotong-royong
juga dapat memupuk nilai positif dalam diri kita. Misalnya, gotong-royong membersih
dan menceriakan kawasan sekolah dapat memupuk nilai mencintai keindahan alam
sekitar dan mementingkan kebersihan. Kesannya, kita akan menjadi warga sekolah
yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, masyarakat dan diri sendiri.
Kesimpulannya, amalan gotong-royong
memberikan banyak manfaat kepada kita. Oleh itu, amalan ini perlulah dipupuk
dan dijadikan amalan hidup. Sekian sahaja syarahan saya pada pagi ini. Saya
sudahi dengan ucapan terima kasih.
Sabtu, 25 Januari 2014
Cara-cara Berjimat Cermat
Soalan: Kamu akan menyertai
pertandingan syarahan antara kelas. Tajuk syarahan kamu ialah “Cara-cara
Berjimat Cermat”. Tulis teks syarahan kamu itu selengkapnya.
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan
Guru Besar, para hakim yang adil dan bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan
sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Hari ini, saya akan menyampaikan syarahan
yang bertajuk “Cara-cara Berjimat Cermat”.
Hadirin yang dihormati,
Hadirin yang dihormati,
Amalan berjimat cermat membawa maksud penjimatan dalam
perbelanjaan. Amalan ini sangat dituntut dalam agama dan boleh mengelakkan
daripada sikap boros. Antara cara untuk berjimat cermat adalah dengan mengawal
diri ketika berbelanja. Walaupun banyak barang yang ingin dibeli tetapi belilah
barang-barang yang menjadi keperluan sahaja.
Seterusnya, wang belanja yang diberi oleh ibu bapa kita
boleh disimpan sedikit ke dalam tabung. Kalau tidak menjadi keperluan, janganlah
dihabiskan wang belanja itu sewenang-wenangnya. Wang yang telah dikumpulkan di
dalam tabung boleh dimasukkan ke dalam bank untuk kegunaan masa hadapan.
Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, berjimat cermatlah ketika menggunakan
barang-barang kepunyaan sendiri. Misalnya, buku-buku pelajaran yang digunakan
dengan cermat boleh digunakan oleh adik-beradik kita yang lain. Hal ini sedah
pasti meringankan beban kewangan ibu bapa kita.
Di samping itu, kita seharusnya berjimat cermat ketika
menggunakan elektrik, air dan telefon. Janganlah dilakukan pembaziran sesuka
hati kerana ini akan menyebabkan ibu bapa kita terpaksa menanggung bil yang
tinggi. Penjimatan daripada pembayaran bil ini boleh digunakan untuk tujuan
lain yang lebih bermanfaat.
Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita praktikkan agar dapat
berjimat cermat. Sama-samalah kita jadikan amalan berjimat cermat ini sebagai
budaya hidup kita. Sekian, terima kasih.
Langgan:
Catatan (Atom)


